Thursday, April 30, 2015

Buku sedang ditulis ..

                                                           ISI KANDUNGAN


Prakata
Melayu bangsa Usahawan
Bagaimana Melaka dimajukan  oleh  usahawan-usahawan
Bab Satu : Kepentingan Akaun Perniagaan
Bab Dua : Kelemahan bangsa Melayu menguruskan kewangan
Bab Tiga : Kesilapan Melayu menguruskan akaun.
Bab Empat : Mengenali  Cash –Flow
Bab Lima : Kepentingan akaun Bank
Bab Enam : Mengasingkan akaun
Bab Tujuh : Menulis akaun menggunakan Microsoft Office
Bab Lapan : Apakah keuntungan perniagaan dan bagaimana mengekalkan keuntungan ?
Bab Sembilan : Kesilapan Melayu dalam keusahawanan
Bab Sepuluh : 100 jenis bisnes yang perlu diceburi bangsa Melayu
Penutup.

PENGURUSAN KEWANGAN BUAT USAHAWAN  adalah sebuah buku yang mengandungi pelbagai maklumat dan info terkini mengenai kewangan dalam perniagaan .Buku ini ditulis untuk membantu usahawan menguruskan kewangan dengan baik dan sistematik.
Pengurusan kewangan adalah penting dalam perniagaan dan ia adalah unsur utama sama ada kejayaan atau kegagalan sesebuah perniagaan.
Buku ini perlu dibaca usahawan.Ilmu itu cahaya,jahil itu berbahaya!





Wednesday, October 22, 2014

Wednesday, October 23, 2013

Sunday, October 20, 2013

Tajuk buku goda pembaca

Tajuk buku goda pembaca

Apakah yang menarik perhatian anda ketika berkunjung ke kedai buku atau ke perpustakaan? Bagaimanakah anda memesan buku melalui Amazon.com, kedai buku maya terbesar di dunia?


Tajuk, sama seperti kulit buku amat penting meskipun ada orang berkata, tidak usah menilai sesebuah buku daripada kulitnya. Tajuk buku perlu segera mencuit jiwa dan minda, emosi dan fikiran pembaca.
Lazimnya seseorang pengunjung kedai buku mengambil masa sekitar lima saat untuk menentukan sama ada sesuatu tajuk buku menarik atau tidak. Dan lima saat lagi untuk melihat kulitnya.


Mencari tajuk yang ‘aduhai’ untuk buku anda tentu sesuatu yang menarik, dan sekali gus mencabar kerana menguji daya kreativiti dan imaginasi anda.


Anda perlu ingat bahawa ada pembaca yang jatuh cinta kepada tajuk buku, seolah-olah bagai cinta pandang pertama.

Tajuk buku harus unik – membezakannya daripada buku lain. Tajuk yang menggoda tentu akan segera menarik minat pembeli dan pembaca.


Tajuk yang lemah atau ‘buruk’ tentu memendamkan potensi sesebuah buku. Seorang editor di Kuala Lumpur pernah berkata, “jika judul menarik, kadangkala pembaca tidak akan mempedulikan kandungan buku.” Kata Nat Bodian, pengarang How to Choose a Winning Title, “pilih tajuk buku anda dengan teliti sama seperti anda memilih nama untuk anak pertama.”


Jangan hairan, buku dapat menentukan nasib bahagia atau derita yang bakal dialami oleh pengarang buku. Tajuk yang sesuai kadangkala dapat meledakkan buku itu menjadi buku terlaris atau bestseller.
Apatah lagi jika buku itu turut mempunyai daya tarikan dari segi kulit atau sampul, jaket, blurb, bentuk fizikal dan sebagainya. Jika anda membaca semua judul buku yang telah diterbitkan di dunia sejak mesin Guttenberg dicipta pada pertengahan abad ke-15, anda memerlukan 15 tahun untuk membacanya, tanpa henti.


Judul amat berpengaruh dalam menentukan sama ada pengunjung kedai buku akan memegang atau membelek sesebuah buku ataupun membiarkannya di atas rak. Jadi, jangan hairan jika tajuk buku dapat menentukan sama ada buku laris ataupun tidak. Bagaimanapun, memang ada tajuk buku yang menarik, tetapi tidak mendatangkan kesan dari segi pemasaran.


Tajuk buku adalah umpan bagi menarik bakal pembeli, pembaca, pustakawan, pengulas, dan kedai buku. Judul yang ‘hebat’ menggerakkan orang untuk membeli dan membaca buku. Judul juga berfungsi sebagai iklan, selain mampu menggoda pengulas buku dan membantu promosi dan pemasaran. Judul memainkan peranan dan pengaruh besar dalam aspek pemasaran dan promosi.


Banyak buku yang menjadi bestseller kerana judul yang unik, menarik, dan mencengkam. How to Win Friends and Influence People menjadi buku terlaris kerana judulnya. Buku Dale Carnegie itu menjadi buku terlaris pada dekad 1930-an dan beliau menerima cek pertama sebanyak AS$90,000, sekali gus menjadikan pensyarah itu antara orang terkaya pada waktu itu. Buku itu telah dicetak ulang berpuluh-puluh kali dalam lebih daripada 40 bahasa sehingga kini.


Kata, Arielle Eckstut, “judul anda hendaklah mampu menggerakkan pembaca memegang, membeli dan membaca buku anda.” Tajuk yang baik ialah tajuk buku yang berpotensi untuk laris.


Hemingway dikatakan menyediakan lebih daripada 100 tajuk untuk buku, kemudiannya membuangnya satu persatu, sebelum memilih yang paling baik, sesuai, dan menarik. Banyak buku terkenal di dunia telah ditukar daripada tajuk asal. Editor yang bijak dan berpengalaman, sering melihat dari segi komersial dan pemasaran.
Di Barat, Jane Austen telah mengemukakan manuskrip bertajuk First Impression (1813), tetapi kemudiannya diubah menjadi Pride and Prejudice oleh penerbitnya. Leo Tolstoy menghasilkan buku bertajuk All’s Well That Ends Well, kemudiannya ditukar menjadi War and Peace (1866). Manakala buku H.G Wells bertajuk The Chronic Argonauts ditukar menjadi The Time Machine (1895). Dalam sejarah moden, buku J.K Rowling yang asalnya bertajuk Harry Potter and the Doomspell Tournment menjadi Harry Potter and the Goblet of Fire (2000). Manakala tajuk asal novel A. Samad Said Gerhana telah ditukar menjadi Salina oleh DBP.
Bagi anda, tidak usahlah memberi tajuk yang aneh dan luar biasa seperti Engineering for Potatoes karya B.F Cargill, Holiday Retreats for Cats and Dogs in England karya Scarett Tipong, atau Electricity and Christianity nukilan Crump J. Strickland. Buku terkenal All the President’s Men asalnya ialah At This Point in Time dan tajuk asal Roots ialah Before This Anger.


Pengarang amat berterima kasih jika tajuk yang diberi oleh editor lebih menarik dan sesuai dengan tajuk asal manuskrip. Tentu di negara kita, kita belum berani memberi tajuk buku seperti Mereka Bilang Saya Monyet dan beberapa tajuk yang menggunakan perkataan merujuk alat kelamin yang dilakukan oleh beberapa penerbit Indonesia yang menerbitkan sekitar 10,000 tajuk buku.


Tajuk yang baik, kata Walker Percy, “hendaklah seperti metafora yang baik.” Memang ada buku yang hanya menggunakan satu atau dua huruf, dan sebahagiannya menjadi buku terlaris. Di negara ini amalan itu belum berlaku lagi.


Tajuk tersingkat adalah A, sebuah buku karya Louis Zukossky (1978), C, sebuah buku karya Peter Reading (1984), G, sebuah novel karya John Berger (1960), S, karya Cid Corman (1976), dan V, karya Thomas Pynchon, 1968



Bukankah Shakespeare pernah berpesan dalam aforismenya, “Apa ada pada nama?" Jadi, ada apa pada tajuk?


- JENIRI AMIR ialah pensyarah komunikasi dan mantan Ketua Unit Penerbitan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).


UTUSAN MALAYSIA 

Sunday, October 6, 2013

Apabila penulis sanggup dipenjara

Apabila penulis sanggup dipenjara

HARI ketiga Aidilfitri saya berpeluang mengunjungi sebuah penjara kerana menziarahi seseorang. Peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penjara menggambarkan bahawa bukan mudah hendak bertemu dengan seseorang yang telah dimasukkan ke dalam penjara. Sehari suntuk berada di sana sudah cukup untuk menyatakan bahawa penjara bukanlah satu tempat yang diinginkan oleh sesiapa pun.



Lantas saya teringat satu rencana yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman di Mastika Ogos 2013 bertajuk Mahakarya Sang Pertapa dari penjara.


Menurut Shaharom, penulis yang dimasukkan ke dalam penjara mampu menghasilkan karya yang dikagumi dan bergagasan besar menggoncang sejarah sepanjang zaman.


Penulis yang disenaraikan Shaharom ialah Adolf Hitler, Pradmoedya Ananta Teor, Mohammad Hatta, Tan Malaka, Sayyid Quthb, Nawal El Saadawi, Ayatullah Muhammad Baqir Sadr, Mumia Abu Jamal, Marthin Luther King Jr. dan Viktor Frankl.


Bagaimana pula dengan penulis Malaysia? Apakah mereka sanggup berjuang hingga dipenjarakan dan kemudian mampu pula menghasilkan karya yang membawa pemikiran besar? Sedangkan penjara itu adalah tempat yang tidak mahu dihuni oleh sesiapa pun
 kerana orang yang bersalah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam penjara.


Namun begitu, sejarah tidak menafikan terdapat sebilangan penulis kita yang sanggup berjuang waima hingga dihumban ke penjara. Antara penulis yang mempunyai prinsip perjuangan yang besar dan sanggup dipenjarakan ialah Allahyarham A. Samad Ismail seorang tokoh wartawan, sasterawan dan pejuang bahasa.
Beliau pernah ditahan ketika zaman penjajahan British (1951-1953) dan zaman selepas merdeka ketika di bawah Perdana Menteri Tun Huseein Onn (1976-1981).


Penahanan ini tidak pernah mematahkan semangat A. Samad untuk berjuang dalam bidang penulisan. Malah tinta dari pena beliau sentiasa mengalir sama ada sebagai wartawan atau sasterawan. Antara karya beliau yang diingati ialah Kail Panjang Sejengkal, Patah Sayap Terbang Jua, Menimba Yang Jernih dan Tembok Tidak Tinggi.


Malah, sumbangan A. Samad telah diiktiraf oleh kerajaan dengan mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Tokoh Wartawan Negara.


Begitu juga dengan Allahyarham Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Beliau pernah dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1948 -1953 dan 1965-1966. Pengalaman pahit ini tidak pernah mematahkan semangat Pak Sako untuk terus menulis khususnya menghasilkan novel yang menyemarakkan semangat nasionalisme anak watan.


Novel terkenal beliau ialah Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang menggambarkan pandangan dan cita-citanya sebagai patriot bangsa dan sasterawan sejati. Jasa Pak Sako terhadap kesusasteraan Melayu turut dihargai apabila mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya.



Malah, Utusan Melayu (M) Berhad melalui anak syarikatnya Utusan Publications & Distributions turut menghargai jasa Pak Sako dengan mewujudkan Hadiah Sako bagi sayembara menulis novel sejak tahun 1992. Antara pemenang Hadiah Sako ini ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Azizi Haji Abdullah, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Ramlee Awang Murshid, Aminah Mokhtar, Dzul Karnain Ithnain, Wan Hashim Wan Teh, Rahman Haji Yusof, Mohd Khaidir Ahmad dan Ali Jusoh.



Di samping itu, tidak dilupa juga penulis Allahyarham Abdullah Thani atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam. Nama pena lain beliau yang terkenal ialah Ruhi Hayat. Beliau juga pernah dipenjarakan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1941-1942, 1948-1954, dan 1963.


Meskipun Ahmad Boestamam dikenali sebagai aktivis politik yang disegani, sumbangan beliau dalam sastera tidak dapat dinafikan. Beliau menulis novel dan sajak di samping penterjemah.


Antara novel yang dihasilkan ialah Pacar Merah Malaya, Gelap Menjelang Terang, Kabus Pagi, Geliga, Api Dan Air Mata, Rumah Kaca Di Gegar Gempa dan Merintis Jalan Ke Puncak. Biarpun politik Ahmad Boestaman berhaluan kiri, pada tahun 1976 kerajaan Sarawak telah menganugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk.


Turut menarik untuk diperkatakan di sini ialah penulis Said Zahari. Beliau merupakan bekas pengarang Utusan Melayu ketika tercetusnya mogok di Utusan Melayu kerana menentang penguasaan UMNO terhadap akhbar ini.


Selepas peristiwa mogok, Said Zahari telah dibuang dari jawatan Pengarang Utusan Melayu dan digantikan dengan Melan Abdullah.


Selepas dipecat Said Zahari dipenjarakan selama 17 tahun iaitu pada tahun 1963-1979 di Singapura.
Ketika di dalam penjara, Said Zahari menghasilkan buku Sajak dari Penjara. Selepas dibebaskan, beliau telah menulis dua buah buku memoir bertajuk Meniti Laut Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi Gelisah.


Kedua-dua buku memoir ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributions. Apa yang menariknya buku memoir Dalam Ribuan Mimpi Gelisah telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia tahun 2006/2007 bagi kategori memoir / biografi. Sudah pastilah buku yang dihasilkan ini adalah daripada pengalaman Said Zahari ketika dipenjarakan selama 17 tahun.


Berdasarkan keterangan di atas, rencana yang diutarakan oleh Shaharom TM Sulaiman mungkin ada benarnya. Namun, benarkah pada zaman ini masih adakah lagi penulis yang sanggup masuk penjara kerana memegang prinsip perjuangannya dan menghasilkan karya? Seperti kata Shaharom, penjara memang sebuah tempat yang cukup menyeksakan tetapi juga sebuah tempat kondusif bagi seorang penulis kerana di dalam penjara, manusia akan terpaksa berani menyendiri, berada dalam kesepian dan keterasingan dan hal-hal sebegini adalah hal yang harus terjadi dalam penulisan.



Kesimpulannya, penjara adalah tempat yang ditakuti oleh sesiapa pun kerana di dalamnya tinggal manusia yang telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan yang telah dilakukannya. Tetapi sekiranya penulis berjiwa besar dan sanggup berjuang kerana mempertahankan prinsip yang betul, penjara hanya memagar jasad tetapi pengaruhnya tetap bebas.



Buktinya penjara tidak mampu memenjarakan kebebasan berkarya penulis seperti Said Zahari atau Pramoedya. Malah penjara semacam tidak berbekas untuk menyekat mereka daripada menulis sesuatu yang benar.


UTUSAN 

Thursday, August 1, 2013