Thursday, December 22, 2011

Komen Cetek dan Dangkal Sama Penting Dengan Yang Bernas Untuk Mengukur Kemampuan Intelektual Seseorang

Komen Cetek dan Dangkal Sama Penting Dengan Yang Bernas Untuk Mengukur Kemampuan Intelektual Seseorang

Tidak semua komentar yang saya terima dalam blog ini bernas, menggambarkan ketangkasan berfikir orang yang membuat komentar. Tetapi ini tidak bererti tidak ada yang bernas dan tinggi nilai intelektualnya. Golongan kedua itu tidak selalunya muncul, tetapi ada sekali sekala memberikan pendapat mereka yang bernas. Kita harus berterima kasih kepada mereka kerana sanggup meluangkan masa untuk menuliskan sesuatu yang berfaedah dan bernas dalam komentar kritis mereka. Tetapi jarang kita dapat. Tak mengapa. Kata Spinoza: “All things excellent are as difficult as they are rare.” (Dikutip oleh George Steiner dalam bukunya, Martin Heidegger (The University of Chicago Press, 1987; cetakan awal 1978). George Steiner mengambil kutipan itu untuk memberi amaran kepada pembaca bahawa pemikiran Heidegger amat sukar difahami, oleh itu pembaca harus bersedia untuk bertindak sabar mengikutinya. Yang berharga itu sukar didapati dan mungkin sukar difahami. Tetapi Martin Heidegger telah dianggap sebagai ahli falsafah terbesar Abad 20 di Eropah dan dalam dunia Barat (ini telah menimbulkan kemarahan ahli falsafah Inggeris yang menuduh Heidegger hanya talking nonsense. Biasalah orang Inggeris cemburu dan hasad seperti itu! Berlaku di mana-mana dalam dunia ilmu, tetapi tidak di Malaysia!!).

Adakah komentar yang bodoh, cetek, keliru dan sebagainya itu tidak berguna? Sebenarnya sangat berguna, iaitu dari segi bukti yang ditonjolkan oleh komentar demikian yang boleh kita pakai untuk mengukur kemampuan intelek para sasterawan, pengkritik, sarjana, dan terutama sekali pembaca blog (termasuk, tentunya, penulis blog sendiri). Semakin banyak kita terima komentar yang bodoh, cetek dan keliru, semakin baik bagi kita untuk dijadikan sandaran bahawa tahap pemikiran mereka dalam persuratan dan bidang kreatif masih jauh dari memuaskan, oleh itu kita perlu menjelaskan bertubi-tubi tanpa jemu perkara-perkara yang boleh mencerdikkan bangsa kita. Ini memang sukar dilakukan, lebih-lebih lagi dalam era serba benda serba wang yang melanda masyarakat dunia dan kini menjadi pegangan masyarakat kita sendiri. Perhatikan bagaimana PTS menggunakan Teknik Surah Yusuf untuk menulis novel-novel picisan tentang cinta yang diberi wajah Islam, lalu dipanggil novel Islami (kini diberi nama baru, sastera hasanah). Novel-novel picisan ini menjadikan cinta muda-mudi sebagai tema yang paling mudah dijadikan novel dan boleh memikat pembaca remaja. Novel-novel ini tidak murah (asalnya novel picisan itu dirujuk kepada novel yang murah harganya, harganya sekupang atau lebih; kini harganya mahal, tetapi kualitinya masih murah dan masih berharga sekupang saja!). Dalam buku Panduan Menulis Novel: Teknik Surah Yusuf (PTS, 2011), syarikat penerbitan ini “mengklaim” (saya sengaja menggunakan perkataan Indonesia ini untuk keperluan retorik!) sesiapa yang menggunakan teknik Surah Yusuf untuk menulis novel, kualitinya dan keindahan karya itu terjamin, secara aotomatis karya itu sebuah karya sastera yang bermutu tinggi. Kualiti sebenar novel-novel picisan ini telah dianalisis dengan baik dan objektif oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam kertas kerjanya, “Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu Penilaian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd. Berdasarkan Persuratan Baru” (Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ke-3 dengan tema ‘Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda’, Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur, 16-18 Disember 2011). Kertas kerja itu menganalisis dua buah novel picisan Islami yang laris, karya Zaid Akhtar (Salju Sakinah) dan A. Ubaidillah Alias (Cinta Berbau Syurga). Penerbitnya, PTS Sdn. Bhd., mendakwa novel yang dikatakan ditulis menggunakan Teknik Surah Yusuf, adalah dua buah novel paling popular dan bermutu tinggi. Cukup laris dijual dan penulisnya sudah kaya raya! Tahniah.

Inilah kesimpulan analisis Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam kertasnya: “Sebagaimana yang terserlah dalam analisis, kedua-dua teks yang dikaji didapati tidak memperlihatkan usaha yang serius untuk membina wacana, atau mengutarakan hujahan-hujahan ilmiah. Justeru, wacana dan hujahan ilmiah menjadi isian yang asing dalam kedua-dua teks yang dikaji. Keasingan inilah yang menyukarkan kedua-dua teks yang dikaji mencapai mutu yang membolehkannya layak dianggap sebagai sebuah ‘karya persuratan’, atau karya ilmu yang bermutu tinggi. Sehubungan itu, analisis ini juga mendapati bahawa kedua-dua teks yang dikaji memperlihatkan kelemahan dari aspek pembikinan cerita. Sebagai sebuah novel, kelemahan dalam aspek pembikinan cerita merupakan sesuatu yang sukar diterima, dan secara serius menjejaskan mutu kesasteraan. Dengan kata lain, kedua-dua teks yang dikaji tidak mencapai mutu yang melayakkannya dianggap sebagai sebuah ‘karya sastera’. Lanjutan itu, analisis juga mendapati bahawa ramuan utama yang mengisi kedua-dua teks yang dikaji ialah kisah cinta dan unsur-unsur luaran Islam.”

Sekarang timbul persoalan: Adakah dakwaan Teknik Surah Yusuf oleh Ainun Mohammed tidak benar, atau analisis Prof. Madya Dr. Zariat yang menggunakan gagasan Persuratan Baru tidak sesuai dan tidak tepat dan tidak boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai novel-novel bercap Surah Yusuf keluaran PTS? Secara kasar bolehkah kita berkata: Novel-novel Islami berdasarkan teknik surah Yusuf adalah novel-novel istimewa yang hanya boleh dinilai dengan menggunakan prinsip-prinsip Teknik Surah Yusuf, tidak boleh dipakai prinsip selain dari itu. Jika itulah pendirian rasmi PTS untuk mempertahankan Teknik Surah Yusuf, bolehkah kita bertanya:
Apakah alasan anda untuk mengatakan gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk menganalisis dan menilai novel-novel picisan Islami terbitan syarikat anda? Menarik juga untuk dinyatakan di sini, Teknik Surah Yusuf menolak bulat-bulat sebarang teori selain dari “teori” sastera PTS yang bernama Teknik Surah Yusuf. Inilah nasnya (antara lain), (secara khusus lihat halaman 34-38): “Teori-teori sastera konventional adalah ciptaan para ilmuwan Barat. Mereka juga mencipta definisi-definisi sastera, dan dengan menggunakan teori-teori itu mereka menentukan novel mana yang dikatakan bermutu sastera dan yang mana tidak. Jadi, sesebuah novel dikatakan karya sastera yang bermutu kerana ada individu-individu yang mengatakan begitu, dan mereka menggunakan teori-teori yang mereka cipta itu sebagai kayu ukur bagi menilai karya itu. Salah satu kekurangan teori sastera Barat adalah disebabkan teori-teori mereka tidak menerangkan ciri-ciri cerita yang indah. Ini adalah salah satu faktor mengapa meskipun penulis itu sudah mempelajari teori-teori sastera Barat sehingga mendapat ijazah, namun dia belum tentu dapat menghasilkan novel yang ceritanya indah” (hal. 35). Kesimpulan ini amat menarik kerana Ainun Mohammed mendakwa hanya Teknik Surah Yusuf yang dirumus oleh beliau saja yang dapat menulis novel yang indah dan bermutu dan dapat dijual dengan laris. Tetapi adakah itu teknik beliau sendiri atau teknik al-Quran? Tak mungkin saya menjawab soalan ini kerana saya tidak mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memberikan jawapan yang munasabah. Mungkin Ainun Mohammed yang lebih mendalam ilmunya dan lebih teliti dan dengan itu lebih berhak untuk memberikan penjelasan berasaskan ... (katalah) al-Quran boleh memberikan jawapannya. Jawapan itu penting untuk menolak kesimpulan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, sekiranya kesimpulan beliau tidak betul dan tidak tepat. [Catatan kecil: Dalam entri PTS 6/3/2006, “Prinsip Menulis Dialog: Teori Surah Yusuf”, disebut Bunyamin abang Nabi Yusuf ‘a.s. Adakah ini fakta yang diberikan oleh al-Quran dalam Surah Yusuf? Muhammad Asad, dalam Tafsirnya, hal. 346, nota 59, berkata Bunyamin anak bungsu Nabi Ya’kub ‘a.s. Dalam Tafsir al-Rahman (Melayu Jawi), hal. 450, nota 404, Bunyamin disebut adik Nabi Yusuf ‘a.s.]

Jika gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk dijadikan kaedah menganalisis dan menilai “karya Islami (?)” PTS, maka percubaan beberapa orang dari PTS sendiri yang berkata Teknik Surah Yusuf dan gagasan Persuratan Baru adalah sama, dengan sendirinya tertolak. Memang saya sendiri pun tidak menerima andaian itu. Teknik Surah Yusuf adalah strategi perniagaan untuk menjual apa yang “diklaim” (istilah Indonesia lagi!) sebagai “novel Islami atau novel hasanah” yang bermutu tinggi terbitan PTS; manakala gagasan Persuratan Baru pula adalah kaedah yang boleh digunakan untuk maksud akademik (menganalisis dan menilai karya) dan juga menjadi panduan dalam menulis karya kreatif. Gagasan PB menekankan ilmu yang benar yang diwacanakan dalam karya untuk mencapai tahap karya yang “indah dan bermakna” (lihat Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid) dilihat dari perspektif taklif yang menjadi tunjang karya kreatif berbentuk cerita. Teknik Surah Yusuf PTS mengutamakan cerita (hal. 35: “Cerita yang indah adalah begitu penting kerana selepas selesai membaca sesebuah novel, ‘cerita’ adalah unsur yang tinggal berbekas dan kekal dalam memori”); manakala gagasan Persuratan Baru mengutamakan ilmu yang benar, oleh itu cerita harus tunduk kepada wacana. Walaupun PTS “mengklaim” Teknik Surah Yusuf bukan kaedah konvensional, tetapi pengertian cerita dan proses bercerita yang diakuinya adalah konventional dan sesuai dengn definisi misalnya, oleh E. M. Forster dalam bukunya yang terkenal di Malaysia, Aspects of the Novel yang hampir seratus tahun usianya. (Buku ini berasal dari syarahan Forster di Trinity College, Cambridge, 1927, jadi sudah berusia 84 tahun). Jadi Teknik Surah Yusuf ciptaan PTS adalah teknik konvensional yang diberi ramuan Islam secara luaran yang tidak jelas, artinya tidak menegaskan penekanan kepada konsep tauhid dan taklif dalam kehidupan manusia. Dari segi praktiknya PTS menggalakkan penulisan karya tidak bermutu dalam wajah sekular yang ditampal imej Islam yang artificial dan superficial bersifat luaran dengan menggunakan Teknik Surah Yusuf bikinan Ainun Mohammed. Itulah imej karya-karya laris itu, yang pada hakikatnya mendorong muda-mudi berkhayal dalam cinta-cintaan yang dangkal penuh melodrama yang dibuat-buat. Apa gunanya karya itu laris jika pada akhirnya tidak mencerdikkan pembaca, menggalak dan menampilkan mediocrity dan pandirisme, malah menggalakkan muda-mudi terus berkhayal. Itulah sebabnya Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat sampai kepada kesimpulan beliau yang saya salin di atas. Dari segi itu, beliau betul; dan PTS dengan Teknik Surah Yusufnya masih mencari-cari kaedah yang betul-betul Islami berasaskan konsep tauhid dan taklif. Cara terbaik bagi PTS ialah menerima gagasan Persuratan Baru sebagai kaedah yang boleh dipromosikan tanpa ragu-ragu; walaupun tidak dapat dijamin PTS akan mendapat banyak wang seperti dengan menggunakan Teknik Surah Yusuf itu. Jika mencari wang itu lebih penting dan lebih utama kepada PTS dan penulis, maka teruskan saja menggunakan Teknik Surah Yusuf. Tak perlu fikirkan mengenai mutu karya yang diterbitkan, asal laku dibeli, oleh itu boleh diulang cetak berkali-kali. Akan tetapi, jika dapat dihindarkan, tak perlu ditulis blurb dengan pujian yang tidak pada tempatnya, pujian yang foni. Walaupun novel fatwa Teknik Surah Yusuf itu ciri Islamnya hanya di kulit saja, Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM tidak akan mengharamkannya, kecuali novel Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh PTS, Sebongkah Batu di Kuala Berang, khabarnya diharamkan oleh JAKIM kerana sebab-sebab yang tidak dijelaskan. Tetapi itu hanya musibah kecil, dibandingkan dengan musibah besar yang menanti. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya 10/12/2011.

sumber : http://pbaru.blogspot.com/