Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sedang meneliti untuk menyediakan platform khas bagi memudah dan memperluas akses pinjaman buku elektronik (e-buku) kepada orang ramai.
“Dengan adanya platform ini juga secara tidak langsung PNM membantu penulis dan penerbit e-buku untuk menguruskan dan memperluas karya mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.
E-buku merupakan medium penyampaian maklumat merujuk kepada penggunaan data elektronik dalam bentuk digital yang mempunyai skrin serta mengandungi muka surat buku yang membolehkan pembaca memindah terima, membeli dan membacanya melalui peranti khas atau komputer.
Bagaimanapun, Raslin berkata penyediaan platform itu perlu penelitian terperinci kerana melibatkan beberapa perkara termasuk hak cipta sesuatu e-buku.
“Bila (platform) itu boleh digunakan bergantung kepada penyelesaian isu hak cipta... penerbitan e-buku ini ada yang mempunyai hak cipta dan ada yang tiada.
“E-buku yang diterbitkan pihak swasta atau penulis tertentu biasanya ada hak cipta, dan itu yang kita perlu rundingkan sebelum platform ini dapat diguna sepenuhnya,” katanya.
Raslin berkata setakat ini, PNM mempunyai dua koleksi besar e-buku terdiri daripada penerbitan yang dilanggan melalui penerbit dalam dan luar negara, yang mana kedua-duanya boleh dipinjam secara atas talian.
“Mengikut statistik pada 2012, PNM menerima sebanyak 136 buah e-buku dan bermula 2013 sehingga hari ini pula, kita telah menerima sebanyak 99 koleksi e-buku untuk diuruskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata jumlah pengunjung ke PNM tahun lepas menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, iaitu 420,171 orang.
Untuk rekod, katanya, PNM mencatat kehadiran 464,317 pengunjung pada 2010, diikuti sejumlah 416,672 pada 2011 manakala kumulatif keanggotaan sehingga Februari 2013 mencecah 1.07 juta orang.
sumber — Bernama