Wednesday, June 26, 2013

Berbakti dengan menulis

Beliau menulis bukan kerana nama mahupun mahu meraih anugerah, sebaliknya kerana minat dan kecintaan yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

Itu yang boleh dijelaskan mengenai Dr. Shaari Isa yang sehingga setakat ini telah menulis lebih 60 buah buku akademik, novel, artikel perakaunan dan kemasyarakatan biarpun telah lama memasuki fasa persaraan.

Bertemu dengan penulis yang telah berusia 80 tahun ini di rumahnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, yang didiami bersama-sama isteri tercinta, Wan Zaliha Wan Abdullah, 74, dan seorang cucu lelaki berusia 27 tahun, Shaari nyata masih gagah dan aktif menulis.

Di hadapan beliau ialah sebuah komputer riba dan kedudukan kerusinya menghadap ke televisyen yang sedang menyiarkan rancangan sukan tenis.

Menonton rancangan sukan dan berita paling diminati oleh Shaari kerana katanya, ia menyegarkan minda untuk terus berkarya.

Sambil tangannya pantas memetik kekunci di komputer, matanya sesekali memandang ke televisyen.

Memulakan bual bicara, menurut Shaari, minat menulis mulai tersemai dalam jiwa sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Walaupun hanya mengikut kawan ke sekolah dan bukan dihantar oleh bapanya secara rasmi, beliau cepat faham apa yang dikatakan guru sehingga beliau bijak menulis dan membaca.

''Karangan saya yang pertama semasa di sekolah rendah ialah mengenai basikal. Di sekolah menengah saya menulis lagi esei dalam bahasa Inggeris.

''Tamat sekolah menengah saya menyambung pelajaran dalam bidang perguruan selama dua tahun di Kolej Perguruan Kirkby, Liverpool, England.

''Minat dalam penulisan semakin bertambah apabila saya berkhidmat di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim selepas tamat kursus di England.

''Ketika itu, kurikulum maktab sedang dalam proses peningkatan selaras dengan kepentingan Laporan Razak. Pelajar (MPSI) dikehendaki lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sebagai kelulusan untuk memasuki kursus perguruan selaras dengan maktab-maktab perguruan lain dalam negara.

"Saya ditugaskan mengajar mata pelajaran Sains sebab itu adalah mata pelajaran khusus yang saya pelajari di Maktab Kirkby,'' kata Shaari yang berasal dari Bedong, Kedah.

Tambah beliau yang merupakan orang yang pertama mengajar mata pelajaran Sains dalam bahasa Melayu, masalah utama yang dihadapi ialah ketiadaan sebarang bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Jelas Shaari, dengan bantuan dua orang tokoh bahasa Melayu iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ali dan Allahyarham Cikgu Wahi Long, beliau berjaya menyediakan bahan pembelajaran sains dalam bahasa Melayu.

Nota-nota ini katanya, kemudian dijadikan buku teks sains dalam bahasa Melayu dengan judul-judul Sains Tingkatan Umum Tingkatan 1, Sains Umum Tingkatan 2, Sains Umum Tingkatan 3 dan Mengajar Sains Permulaan di Sekolah Rendah.

Shaari kemudian melanjutkan pengajian ke New Zealand dan pulang dengan Ijazah Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan.

Beliau ditempatkan di Kementerian Pelajaran bagi merancang kursus-kursus perdagangan dan perakaunan di sekolah vokasional, sekolah teknik dan politeknik

''Saya suka menulis buku berunsurkan pendidikan bagi meningkatkan pemikiran manusia kerana pemikiran yang kreatif menjurus kepada hidup yang bahagia,'' ujar bapa kepada seorang anak lelaki dan datuk kepada tiga orang cucu ini.

Selain daripada buku akademik, Shaari juga telah menghasilkan buku-buku kreatif.

Kini dalam usia persaraannya, Shaari terus menulis dan menghasilkan empat buah buku yang menumpu kepada masalah sosial orang Melayu dan dua buah novel Inggeris.

Selain daripada itu terdapat tiga buah buku lagi yang sedang dalam proses penerbitan, iaitu Vendetta and Abuse of Power, Perutusan dari Penjara dan English: A Quasi-Natural Approach.

Novel beliau Lepaskan Aku Ke Laut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia dan diadaptasi untuk drama RTM.

''Saya akan terus menulis, tak kisahlah berapa banyak selagi saya termampu. Novel saya yang terbaru yang akan diterbitkan tahun depan ialah mengenai Perang Dunia ke II,'' kata Shaari yang begitu tegas menjaga kesihatan dan sihat tanpa darah tinggi atau kencing manis.

UTUSAN