Wednesday, November 7, 2007


Anda minat menulis cerpen?Jadikan cerpen ini sebagai panduan...
Berita Harian, 10hb Oktober, 2004.

SATA Saalimun nama pena bagi Saat Sulaiman, bakat baru dalam dunia penulisan kreatif, menerima pendidikan di Universiti Islam Madinah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kini bergelar ahli perniagaan.

HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.Kerajaan yang menyekolahkan kau, MARA yang memberi biasiswa hingga kau berjaya mendapat ijazah di Universiti Harvard. Mengapa pilih Amerika?," itulah kata-kata arwah ayahnya ketika Affan membuat keputusan untuk bekerja di Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajiannya.

Setelah lima tahun berkhidmat di negara Uncle Sam itu, Affan mula gelisah dan rindu pada tanah air. Pesanan ayahnya terngiang-ngiang di telinganya. Impian ayahnya untuk melihat anaknya berkhidmat di negara sendiri tidak terlaksana.

Dia memilih Amerika kerana ganjaran dan gaji yang lumayan, kemudahan dan seronok dengan kehidupan di negara maju. Malah ketika ayahnya menghembus nafas terakhir, dia berada di Kanada mengikuti kursus yang dianjurkan oleh syarikatnya. Hanya bacaan Al-Fatihah mengiringi pemergian ayah tersayang.

"Maafkan Affan kerana tak dapat balik. Sekarang Affan di Kanada. Assalamualaikum," begitulah jawapan ringkas apabila ibunya menghubungi untuk memberitahu kematian ayahnya.

Memang sedih tidak dapat menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Kewajipan dan tugas perlu diutamakan. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Itulah kata-kata ibunya apabila dia mula menjejakkan kaki di Amerika untuk melanjutkan pelajaran.

Memang susah untuk membuat keputusan apabila mendapat berita kematian ayahnya.

Namun Affan tekad untuk meneruskan kerjanya demi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Jika dia pulang ke tanah air pun, ayahnya tak akan bernafas semula.

"Kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar pelajar Melayu melanjutkan pelajaran di luar negara supaya mereka mendapat pengetahuan, pengalaman, kemahiran. Kamu mestilah menceduk dan menimba pelbagai ilmu kemajuan di negara asing supaya dapat dipraktikkan di negara kita apabila kamu balik berkhidmat nanti.

Jika kamu sayangkan negara, belajarlah bersungguh-sungguh dan berkhidmatlah di tanah air setelah menamatkan pengajian nanti,". Begitulah ucapan Datuk Wira ketika majlis penyampaian biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di luar negara. Ketika ucapan itu masuk ke telinganya di dalam bangunan PWTC, Kuala Lumpur, semangat ingin berjaya dengan cemerlang berkobar-kobar dan impian untuk berkhidmat di tanah air ditanam di sanubari.

Namun segalanya berubah apabila berada di Amerika. Tika di tahun akhir pengajian, tawaran dari syarikat komputer terkenal, MICROSOFT, sampai di tangannya. Tawaran gaji dan pelbagai kemudahan menyebabkannya berubah fikiran. Keinginan berkhidmat di tanah air setelah tamat pengajian telah terkubur.

Setelah tamat pengajian, Affan balik ke tanah air untuk berehat beberapa bulan di samping menyampaikan berita gembira kepada keluarganya namun tidak diterima oleh ayahnya. Ayahnya menolak keras kemahuannya ingin bekerja di Amerika Syarikat.

"Kamu dah ada ijazah, apa yang kamu susah? Sini pun tak kurang hebat, ada syarikat

TELEKOM, TNB, RENONG dan lain-lain. Kamu boleh dapat kerja!," bentak ayahnya pada satu petang apabila Affan memberitahu keinginannya bekerja dengan MICROSOFT.

Namun Affan tetap dengan keputusannya. Dia meninggalkan tanah air dan bekerja di Amerika walaupun tanpa restu ayahnya, manakala ibunya hanya bersikap berdiam diri.

Pemergiannya ke Amerika hanya diiring ibunya di KLIA, Sepang. Ayahnya teramat marah dan kecewa dengan keputusannya. Tanpa restu ayah, memang membuatkan Affan agak serba salah. Namun keinginan dan ketamakan mendapat gaji dan ganjaran lumayan telah mengabui matanya.

"Mak, maafkan Affan. Affan tak dapat memenuhi permintaan ayah. Kirim salam pada ayah," katanya ringkas ketika dia ingin memasuki lobi berlepas. Ibunya hanya menitikkan air mata.

"Mak akan mendoakan kejayaan dan kebahagiaan Affan di mana pun berada. Ingat pesan mak, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung! Jaga diri baik-baik…," pesan ibunya terputus putus akibat menahan tangisan.

Penerbangan ke Amerika dirasakan amat jauh sekali. Fikirannya menerawang. Teringat kenangan manis bersama ayahnya. Ayahnya menghantar ke sekolah ketika dia berumur enam tahun menaiki basikal buruknya. Air matanya merembes teringat kenangan silam.

Ayahnya selalu menceritakan kisah datuknya yang mempertahankan tanah air hingga

terkorban. Ayahnya selalu menanam sifat patriotik dan sayangkan tanah air.

Setelah setahun bekerja, Affan membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan yang juga rakan sekerja. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, lelaki dan perempuan. Walaupun berada di negara asing. Affan mendidik kedua anaknya agar mampu menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mesti dikekalkan kerana bahasa melambangkan bangsa. Meskipun jauh dari tanah air, agama dan bangsa tidak pernah dilupakan. Didikan agama yang disemai oleh ibu bapanya semenjak kecil tetap dipraktikkan walau berada di negara asing.

Tinggal di kota Washington memang benar-benar menguji keimanan. Ramai hanyut

dalam budaya dan cara kehidupan Barat. Persetubuhan tanpa nikah, filem lucah adalah perkara biasa di kota ini. Masyarakat di sini hanya mementingkan keseronokan dan kebendaan.

Corak kehidupan dan gaya hidup moden masyarakat kota membuatkan Affan termanggu-manggu. Perbezaan dan jurang amat ketara jika dibandingkan dengan tanah air. Mujurlah didikan ibu bapa mampu menjadi benteng kepada Affan supaya tidak hanyut dalam budaya asing.

Kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke kota Washington membuka minda Affan.

Antara inti pati ucapannya di ‘Malaysia Hall’ yang dihadiri oleh rakyat Malaysia yang menetap di Amerika:

"Negara kita masih kekurangan jurutera, doktor, saintis dan pakar dalam pelbagai bidang terutamanya sains dan teknologi. Jika kamu mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan oleh negara, berbakti dan berkhidmatlah di tanah air. Kerajaan memang tidak mampu membayar gaji yang lumayan sebagaimana yang kamu dapati di negara maju seperti Amerika tetapi jika kamu balik dan berkhidmat di negara kita, kemajuan dan pemodenan akan lebih cepat terhasil. Jika kita menjadi negara maju dengan lebih cepat, kerajaan akan mampu membayar gaji yang lumayan sebagaimana yang kamu peroleh di sini. Tanah air banyak berjasa kepada kita, jadilah warga yang membalas jasa dan mengenang budi dengan berkhidmat di tanah air,".

Ucapan penuh emosi yang dilontarkan oleh perdana menteri membuat Affan benar-benar tersentak dan terpegun. Ia membuatkan Affan kembali mempunyai semangat dan kemahuan berbakti di negara sendiri.

"Ain, Abang nak berbincang," Affan memulakan bicara. Ain adalah panggilan manja isterinya yang bernama Norainah binti Abdullah.

"About what?" jawab isterinya dalam bahasa Inggeris.

"Abang nak balik ke Malaysia dan bekerja di sana. Cukuplah lima tahun berbakti di negara orang, abang nak berkhidmat untuk negara sendiri,".

“Up to you!" balas isterinya tidak acuh.

"Ain bagaimana? Nak ikut tak?," Affan cuba menduga.

"I'm with you where ever, what ever…," jawab isterinya dengan yakin.

Setelah berfikir panjang, Affan dan keluarga membuat keputusan untuk balik ke Malaysia. Affan merasa sedih dan terharu dengan pengorbanan isterinya yang sanggup meninggalkan keluarga di Amerika demi menurut suami tersayang.

"Amerika dah buang kau ke?," sindir kakaknya, Intan apabila Affan memberitahu hajatnya ingin pulang ke tanah air.

"Hujan emas di negeri orang…,” balasnya ringkas.

"Harap-harap keputusan kau tak berubah…," tegas kakaknya.

Affan mula mengemaskan barang-barang dan pakaian, menjual apartmen yang dibelinya dua tahun lalu, menyiapkan segala dokumen untuk pulang ke tanah air.

Surat berhenti kerja telah dihantar kepada pengerusi syarikat. Mr Bill, pengerusi syarikat menemui Affan dan menjelaskan kepada Affan bahawa dia tidak menerima surat peletakan jawatan.

"You can still be my worker, although not here," jelas Mr Bill.

"What do you meant,” tanya Affan.

"We will open new branch in Kuala Lumpur and you will be a marketing manager there," jelas Mr Bill dengan slanga Amerikanya. Affan amat gembira dengan berita itu.

Ternyata keputusannya pulang ke tanah air tidak silap. Bukan sahaja dapat berjasa kepada negara tercinta tetapi juga dapat memajukan teknologi komputer dengan menjadi pengurus MICROSOFT di Malaysia.

Kepulangan Affan dan keluarga disambut dengan gembira terutama ibunya. Ibunya tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila anak lelaki kesayangannya terpacul di muka pintu rumahnya.

"Apa khabar mak?", Tanya Norainah kepada ibu mentuanya dengan slanga tersendiri.

"Baik, nak. Orang putih pun pandai cakap Melayu!" gurau mentuanya.

Selepas mengemaskan barang-barang, Affan meminta izin ibunya untuk menziarahi pusara ayahnya. Di pusara, Affan membaca surah Yasin dan berdoa:

"Ya Allah, Tuhan Maha Pengampun, maafkanlah dosaku dan dosa ayahku. Rahmatilah dan kasihanilah ayahku yang banyak berjasa dan berbakti kepadaku. Limpahilah rahmat dan nikmat kepada ayahku," air matanya mula merembes.

Walaupun agak terlewat, namun Affan dapat menunaikan impian ayahnya untuk berkhidmat di tanah air walaupun kepulangannya agak menyedihkan kerana ayahnya telah pergi buat selamanya.

Affan bertekad akan mendidik anak-anak sayangkan tanah air, berjasa kepada bangsa, agama dan negara. Sebagaimana ayahnya menanam ke dalam jiwanya sayangkan tanah air, begitulah akan dilakukan kepada anak-anak.