Thursday, September 11, 2008

Hubungan penulis-editor

Menjalin dan Memelihara Hubungan Baik dengan Editor
Menjalin dan menjaga hubungan baik dengan editor adalah amat mustahak. Editor bertanggungjawab menentukan judul yang tepat bagi buku-buku yang mereka uruskan. Jika buku itu laku, mereka menerima pujian, jika tidak, mereka dipersoal dalam mesyuarat pengurusan.

Ada penulis sanggup merosakkan hubungan baik dengan editor semata-mata kerana tidak setuju judul buku mereka diubah oleh editor.

Merosakkan hubungan baik dengan editor adalah kesilapan serius kerana faktor-faktor berikut:

(i) Editor yang kecewa dengan sikap penulis akan bercerita kepada editor-editor lain.

Kakitangan syarikat lebih setia kepada rakan sejawat daripada setia kepada penulis. Apabila staf di bahagian sales tahu ada penulis bergaduh dengan editor, mereka hilang minat hendak bersungguh-sungguh mempromosi dan menjual buku penulis itu.

Begitu juga halnya dengan sikap staf di bahagian grafik. Penulis yang popular di kalangan editor juga popular di kalangan staf bahagian sales dan bahagian grafik. Hasilnya buku-buku penulis itu diterbitkan dengan wajah yang lebih cantik dan jualannya lebih laju.

(ii) Penulis tentu kecewa apabila judul cadangannya tidak diterima oleh editor.


Penulis tentu suka judul ciptaannya. Tetapi, secara komparitif, syarikat penerbitan lebih tahu judul yang laku.

(iii) Sebelum sesuatu judul itu dipilih, judul itu akan dikemukakan dahulu kepada bahagian pemasaran disebabkan merekalah yang dapat memberi maklumbalas kepada editor berkenaan kesesuaian judul itu.

Pegawai-pegawai di jabatan sales setiap hari pergi ke kedai-kedai buku, oleh itu mereka tahu judul-judul buku penerbit lain yang sudah ada dalam pasaran dan menjadi pesaing. Mereka akan memberikan maklumat itu kepada editor supaya jangan menggunakan judul yang serupa dengan buku terbitan syarikat lain.

(iv) Editor bekerja dalam keadaan yang stressfull, dan mereka mempunyai perasaan.

Apabila penulis tidak berbaik-baik dengan editor, mereka mungkin menolak bukunya, ataupun melambatkan proses penerbitannya dan mendahulukan buku penulis lain.

(v) Jumlah penerbit buku yang kredibel adalah terbatas.

Staf syarikat-syarikat penerbitan pula banyak yang berkawan-kawan sesama mereka dan bertukar-tukar maklumat berkenaan penulis yang bermasalah. Kalau hari ini ada penulis bermasalah dengan satu penerbit, dalam masa sekejap sahaja maklumat itu akan diketahui oleh staf penerbit-penerbit lain.

(vi) Bagi sesetengah penerbit, mereka sudah memasukkan dalam klausa perjanjian penerbitan bahawa hak menentukan judul adalah hak penerbit.

Ada penulis tidak mahu menjalin hubungan yang baik dengan editor atas pelbagai alasan. Ada yang malu dan tidak tahu apa cara yang betul kalau mahu mendekati editor. Ada penulis yang percaya tidak perlu berkenalan dengan editor. Ada yang berasa perbuatan menjalin hubungan baik dengan editor adalah tidak baik sebab ia boleh disalah tafsir.

Sebenarnya, sikap tidak berbaik-baik dengan editor adalah tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Penerbit untung apabila hubungan kerjasama antara penulis dan editor adalah baik dan lancar. Ia menghasilkan lebih banyak buku-buku yang memenuhi kehendak penerbit. Ia juga meningkatkan kesetiaan penulis kepada penerbit.

sumber :
http://universitipts.com/