Tuesday, July 3, 2012

Kerajaan hargai peranan penulis ke arah negara maju


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan amat menghargai peranan yang dimainkan penulis dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, ini kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan per kapita, kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah eksport semata-mata, sebaliknya ia juga harus diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan daripada hasil penulisan.

"Kita akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para penulis untuk berkarya. Kita akan membantu golongan penulis terutama generasi muda untuk mengembangkan bakat mereka," katanya semasa melancarkan 30 judul buku karya asli terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Seri Perdana di sini hari ini.

Najib berkata, penulis tempatan perlu memperluas tasawur (gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara) mereka dengan menerokai dunia luar untuk menimba ilmu yang difikir boleh dikongsi bersama khalayak di Malaysia.

Selain mencatat kehebatan dan kesusateraan dan pembukuan, penulis wajar mengambil iktibar daripada tokoh pembaharuan umat, Jamaluddin al-Afghani, semasa pengembaraan beliau ke banyak negara, sama ada negara Islam atau bukan Islam, katanya.

"Melalui hasil pengembaraannya itu al-Afghani banyak menunjukkan jalan kepada seluruh umat tentang kaedah menghadapi arus modenisasi dunia ini melalui berfikir secara rasional dan bebas," katanya.

Beliau berkata, semasa negara luar, khususnya negara Islam sedang bergolak keadaan politiknya, rakyat Malaysia masih dirahmati dengan keamanan dan kebebasan untuk berfikir serta mengembangkan kegiatan intelektual dan ilmiah. - BERNAMA