HURUHARA

Monday, January 23, 2012

Nasib malang buku bahasa Melayu

Nasib malang buku bahasa Melayu

oleh RAMLI ABDUL HALIM

Penerbitan dalam bahasa Melayu terus menghadapi masalah ketandusan pembaca.

INDUSTRI penerbitan dalam Bahasa Melayu mampu bersaing dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris bagi merebut peluang dagang jika 300 juta penutur bahasa Melayu mampu dieksploitasi.

Berdasarkan fakta terkini, bahasa Melayu menduduki tangga keempat selepas bahasa Mandarin, Inggeris dan Urdu/Hindi dari segi jumlah penutur. Maknanya jumlah penutur Melayu mengatasi jumlah penutur banyak bahasa-bahasa lain.

Dengan jumlah penutur Bahasa Melayu yang begitu besar jumlahnya, sepatutnya pemain dalam industri penerbitan bercetak atau elektronik mempunyai peluang yang sangat menjanjikan untuk jadi jutawan dengan mudah.

Seandainya satu peratus daripada 300 juta penutur bahasa Melayu menjadi pelanggan sesebuah akhbar harian, akhbar mingguan, majalah bulanan atau buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, maknanya jumlah jualan untuk setiap bahan akan berjumlah tiga juta sehari, seminggu atau sebulan.

Sekiranya keuntungan yang diperoleh dari tiga juta jualan bagi setiap bahan penerbitan, keuntungan bersihnya diperoleh sebanyak 20 sen sahaja, maka jumlah perolehan untuk setiap bahan adalah sebanyak RM600,000, satu jumlah perolehan yang sangat lumayan bagi pemain industri penerbitan, terutama dari kalangan penulis di negara ini.

Hakikatnya di Malaysia, penulis yang berjaya menghasilkan 10 buah buku pun belum tentu hasilnya boleh mencecah RM600,000, malah untuk dapatkan RM60,000 atau RM16,000 pun belum tentu. Ini kerana ada penulis yang bukunya telah diterbitkan bertahun lamanya belum terima sesen pun bayaran.

Kalau bukan penulisnya Shariff Putera dari Terengganu, yang beritahu kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz barangkali jika tujuh kali mati dan tujuh kali hidup pun seseorang tidak akan ada yang percaya dengan apa yang diluahkan oleh penulis Terengganu itu.

Shariff Putera - seorang pendidik dan penulis mapan mendakwa bukunya yang diterbitkan sebanyak 5,000 naskah oleh DBP hanya terjual senaskah sahaja setelah bukunya itu beredar di pasaran.

Malang

Untuk negara yang rakyatnya berjumlah sekitar 28 juta, dengan akhbar-akhbar harian jumlah jualan hariannya tidak sampai pun sejuta naskah adalah sesuatu yang sangat malang, walhal kalau diambil kira senaskah akhbar dibaca oleh lima orang, seandainya sebanyak sejuta naskah suratkhabar harian terjual, maknanya jumlah pembaca baru pada angka lima juta daripada 28 juta rakyat.

Saya juga menemukan fakta rambang bahawa Bahasa Melayu adalah sejenis bahasa Melayu-Polynesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia-Indonesia dan kawasan persekitarannya lebih 1,000 tahun lalu. Ia telah mengalami perkembangan tamadun sesuai dengan pembinaan tamadun oleh penuturnya.

Bagaimanapun kecenderungan terhadap pembacaan bahan bercetak yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu masih rendah, menjadikan industri penerbitan bahan-bahan bercetak dalam Bahasa Melayu dan pelaburan dalam industri berkenaan paling berisiko, Penutur Bahasa Melayu kelas berilmu di Malaysia lebih memilih bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

Tebal

Semakin ilmiah buku yang diterbitkan dengan jumlah halaman yang lebih tebal, maka semakin sukarlah sesebuah buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dipasarkan. Kalau pun ada peminat sedikit sebanyak, hanyalah bagi buku yang bersifat bacaan ringan yang diselitkan dengan unsur-unsur lucah dan tahyul.

Kerana itu buku-buku atau majalah ringan serta tahyul yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan tertentu lebih laris jualannya berbanding dengan buku dan majalah terbitan DBP.

Tidak hairanlah kalau industri penerbitan bahan bercetak mahu pun elektronik jauh lebih ke depan di Indonesia berbanding dengan di Malaysia. Bagaimanapun jika mahu dibandingkan dengan bahan-bahan bercetak yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jumlah bahan terbitan bercetak dalam Bahasa Melayu Indonesia jauh di belakang.

Bahasa Melayu pada waktu ini adalah bahasa rasmi bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei serta satu daripada bahasa rasmi Singapura.

Di Indonesia bahasa Melayu kini dipanggil Bahasa Indonesia dan di Malaysia, ia dipanggil Bahasa Malaysia. Ia sedang diancam oleh keyakinan di kalangan pemimpin Melayu terhadap keupayaannya untuk menjadi bahasa ilmu.

Selain daripada keempat-empat negara yang disebutkan, bahasa Melayu juga dituturkan oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thai, Selatan Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, Burma dan Afrika Selatan. Di Sri Lanka sahaja 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu manakala di China terdapat siaran radio dalam Bahasa Melayu, membuktikan bilangan yang agak besar penduduknya yang faham berbahasa Melayu.

Bahasa Melayu juga diajar di University of Ohio di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Beijing Foreign Studies di China, Victoria University of Well New Zealand dan di Hankuk University, Korea. Penduduk rantau Balkan juga ada yang boleh berbahasa Melayu.

Anak Melayu juga sudah berjaya ke angkasa lepas di samping melalui Petronas, anak-anak Melayu berjaya memberikan saingan hebat dalam industri petroleum dunia. Bagaimanapun dalam bidang penyebaran ilmu dan maklumat, khususnya dalam dalam bidang penerbitan bercetak, Melayu melalu penggunaan bahasa Melayu masih gagal jadi hebat.

Ini adalah kerana tidak ada usaha dan langkah proaktif dilakukan bagi memastikan 300 juta atau setidak-tidak sebilangan besar daripada penutur Bahasa Melayu menjadi pelanggan dan pembaca akhbar harian, akhbar mingguan, majalah dan buku-buku yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.

sumber : UTUSAN