Monday, January 23, 2012

TRANSKRIP UCAPAN YB DATO' SERI UTAMA DR RAIS YATIM MENTERI KPKK

RANSKRIP UCAPAN YB DATO’ SERI UTAMA DR RAIS YATIM

MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN

DI MAJLIS PELANCARAN BUKU

‘NAJIB RAZAK A SENSE OF MISSION’

DI PERPUSTAKAAN NEGARA

PADA 31 MAC 2010

________________________________________________________________________________________________________

Assalamualaikum Warahmatulahhi Wabarakatuh

Yang Berhormat Dato’ Joseph Salang, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Yang Berbahagia Dato’ Wira Kamaruddin Siaraf, KSU Ketua Setiausaha Kementerian, Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Daud, Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Yang Berbahagia Dato’ Ketua Pengarah PNM, Dato’ Raslin Abu Bakar dan para pegawai serta Ahli-Ahli Lembaga, Yang Berusaha Encik Ramesh Rao mewakili Thinker’s Library, Ketua-Ketua Pengarah, jemputan-jemputan khas, para penulis, murid-murid, para guru, hadirin hadirat yang dirahmati sekalian.

Petang ini adalah petang kali keempat saya melancarkan buku bulan ini. Jadi bagi buku yang keempat ini tentulah buku yang istimewa dan mempunyai ciri-ciri penerbitan serta kandungan yang bukan sahaja mutunya tinggi tetapi berkemungkinan besar setelah saudara saudari membacanya mengandungi inti sari academia yang tinggi nilainya jua.

Pertama telah dilancarkan buku Tan Sri Noor di FELDA baru-baru ini. Kedua ialah melancarkan buku Dato’ Ahmad Dusuki, seorang yang telah bertungkus-lumus dalam bidang politik yang lama dan pernah menjadi Setiausaha Siasah kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dahulu. Ketiga ialah sebenarnya melancarkan semula Utusan Melayu dan keempat buku yang bertuah ini Najib Razak A Sense of Mission. Keempat-empat ini tentu sekali merapatkan kita oleh kerana terjurus di dalam muka-muka buku dan akhbar tersebut. Nukilan serta penulisan yang para penulisnya terlebih dahulu memeras pemikiran untuk melahirkan buku-buku tersebut.

Bagi Dato’-Dato’, hadirin yang pernah menulis buku, tentu sekali ini bukan sesuatu yang biasa bagi seseorang tetapi seseorang yang menulis itu, dunianya sunyi. Dan dunianya itu terpaksa melibatkan pengasingan diri daripada beberapa pihak khususnya kaum keluarga yang nakal dan suka mengusik semasa seseorang menulis. Tentu sekali Dato’ Ismail Noor penulis buku ini, mungkin mengalami sedikit sebanyak daripada apa yang sempat saya sebutkan ini.

Walaupun tidak dikacau oleh mana-mana pihak, saya berasa bahawa menukilkan sebuah buku tentang Perdana Menteri keenam bukanlah mudah. Dan dalam muka-muka buku yang ada di hadapan saya ini, terkandung pelbagai fakta, pictorial dan gambarnya serta naratif yang saya anggap amatlah tepat pada sejarahnya, pada liputannya dan juga pada penceritaannya. Salah satu daripada nukilan di sini dimasukkannya Foreword atau pun Pendahuluan yang sempat saya tulis. Jadi di samping menyatakan bahawa setelah sempat berkhidmat di bawah bapa Perdana Menteri sekarang pada tahun 1974 sehingga tahun 1976, saya juga berpeluang untuk berkhidmat di bawah anakanda Tun Razak itu yang bernama Najib Razak.

Justeru saya lihat di sini, saya nyatakan dengan terang dan jelas bahawa mengikut ungkapan yang ada dalam buku ini, I have truly made one full circle in serving the administrations of the nation. In 1974, I served the father. Now I serve his son as a member of the Council of Ministers of the sixth Prime Minister. Saudara saudari, sebab itulah alasan terpenting bagi saya menyatakan kepada diri saya bahawa petang ini walau bagaimana pun saya akan cuba bersama-sama dengan pembaca dan mereka yang sukakan buku untuk bersama-sama pula berada di Dewan PNM yang bertuah ini.

Tahniah Dato’ Ismail Noor, tahniah Thinker’s Library dan kita berharap buku ini beroleh perhatian dan juga penerimaan masyarakat. Tetapi bukan itu sahaja, sebahagian daripada pengisahan dalam buku ini memang dapat saya perakukan merupakan pengisahan yang benar. Dan atas usaha-usaha menukilkan fakta-fakta tersebutlah, maka nilai buku ini saya anggap sebagai mengandungi ciri-ciri yang nyata, tepat dan benar. Di samping itu, kaedah penulisannya mudah diikuti dan dengan kelengkapan-kelengkapan quotable quotes atau pun kata-kata hikmat nya maka buku ini dalam lingkungan lebih kurang 200 muka ini akan memberi satu minat yang baru kepada kita yang membaca.

Saya Cuma ingin bersama-sama bersaham untuk melihat ungkapan yang dibuat oleh Perdana Menteri keenam kita ini. Beliau mengatakan, “The government will implement what is within its means to provide a more comfortable living environment for the people. This is in line with the 1Malaysia concept with the people’s needs being given priority and implementation of projects speeded up”. Satu nukilan berkaitan gagasan 1Malaysia.

Tentang rakyat diutamakan, “We must reach out to all parts of Malaysia, to all our diverse communities. In our national discourse and in pursuing our national agenda, we must never leave anyone behind”. Hari ini dalam akhbar pun, ungkapan ini telah disebutkan kembali oleh YAB Perdana Menteri kita. Dalam menyatakan tentang Model Ekonomi Baru beliau yang sekarang kita warisi untuk berjuang bersama menyatakan bahawa jangan tinggal seseorang pun daripada pemerhatian kita ke arah membantunya. Ini adalah kata-kata dan ungkapan yang bukan sengaja ditulis oleh pegawai tetapi datang daripada diri dalaman pemimpin itu.

Saudara saudari yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Oleh sebab buku ini tentu sekali penulisnya akan merumuskan sebentar lagi, maka saya bawalah perhatian kita kepada dunia buku ini dan dunia penulisan di tanah air kita. Saya mulakan dengan menyatakan bahawa Alhamdulillah, bertemu kita pada petang ini hanya untuk melancarkan sebuah buku. Tetapi yang penting sebenarnya ialah untuk menjawab apa yang berlaku selepas ini. Selepas buku ini kita lancar, selepas kita kata edarkan lah di perpustakaan seluruh negara, tentu tinjauan minda kita menjangkau kepada soal-soal kehidupan kita. Jadi dari situ saya terfikir bahawa rupa-rupanya semenjak penulisan buku ditemui oleh manusia 5,000 tahun dahulu, semenjak kita diberitahu bahawa di negeri Mesir sendiri telah diwujudkan papyrus, hieroglyphics dan sebagainya, setelah orang-orang Sumerian pada 2,400 tahun yang dahulu meninggalkan tanda-tanda penulisan yang tinggi, kita soal pada hari ini. Soalan itu adalah soalan kita juga. Bagaimana orang dalam zaman Firaun dulu menukilkan pada batu, sekarang kita nukil kan pada kertas, sebagaimana orang Sumerian dahulu 2,400 tahun dahulu menulis, kita juga sekarang menulis kembali.

Apakah parchment kita persoalkan, atau batu kita persoalkan, atau pun kulit binatang yang kita persoalkan. Sebenarnya yang kita persoalkan ialah proses minda untuk menukilkan pemikiran. Tetapi menukilkan pemikiran sahaja tidak cukup, yang penting ialah menukilkan ilmu. Tentu sekali Najib Razak, A Sense of Mission, ada nukilan ilmunya, iaitu pengalaman manusia. Tanggal-tanggal atau tarikh-tarikhnya, peristiwa-peristiwanya dan tinjauan terhadap hidup sendiri. Sama ada Firaun Ramesses II atau pun Jogdi ataupun mereka yang lain-lain menulis, orang China dan orang Arab nampaknya bersaham tentang sejarah penulisan atas kertas. Mereka yang dulu menjuarakan supaya buku itu dijilid dan mengikut istilah Arab nya, warakin adalah kumpulan manusia yang mengambil minat yang tinggi dalam industri buku di negara-negara Arab pada masa itu. Mereka mendapat ilmu daripada masyarakat Tiong Hua yang menyusun buku-buku mereka untuk ditadbir dan di edar kepada Majesties atau pun kepada Raja-Raja mereka.

Bukan hajat saya untuk menyatakan sesuatu dari segi sejarah, untuk mengajar itik berenang, tetapi masyarakat kita mesti ada tergolong kepada yang cintakan buku. Real love for books. Dan ini mesti kita wujudkan menerusi pendidikan kita, menerusi acuan-acuan budaya kita, bagaimana kita harus menjawab soal berkaitan civilisation atau tamadun. Jadi dengan keadaan sedemikian lah, saya bertanya pada petang ini kepada kita, apa jadi jika tiada buku? Tiada buku tiada pembaca. Tiada pembaca tiada perolehan ilmu. Tiada ilmu tiada tamadun. Tiada tamadun kita mundur. Bila kita mundur kita dijajah. Bila dijajah minda kita dimiliki orang. Cara hidup kita ditentukan oleh orang lain.

Jadi sebab itulah pada petang ini, anakanda Siew Ting tadi mengatakan, jangan ada sempadan. Jangan ada sempadan bererti kita mesti berjuang dan mencari hal-hal di dalam diri bangsa Malaysia itu, apa yang boleh meneguhkan kita. Yang boleh meneguhkan kita ialah ilmu dan ilmu menerusi pembacaan. Jadi bolehlah dikatakan begini, knowledge is not piloted by automatic device. Ia mesti di manual kan, jadi manual kan lah para guru, para pemimpin, para penerbit dan para penulis. Negara kita memerlukan masyarakat ini, jika kita hendak sampai ke tahap di mana dinyatakan ekonomi bertahap tinggi dan income atau perolehan pendapatan yang tinggi. Ataupun jika kita hendak membawa Malaysia ke paras yang dicita-citakan oleh orang yang diceritakan oleh Dato’ Ismail Noor dalam buku ini iaitu PM kita yang keenam, kita bantu dia dengan membaca, kita bantu beliau dengan mengembangkan ilmu kita, kesungguhan kita membaca. Jadi dalam konteks itulah maka rekod-rekod yang ada pada kita menandakan bahawa kita sudah melangkah di arena yang boleh kita banggakan bersama. Misalnya dalam bilangan jumlah penulis di Malaysia.

PNM iaitu Perpustakaan Negara Malaysia menyatakan secara rasmi iaitu jumlah penulis pada tahun 2007, pelbagai penulis, penulis, wartawan kita, penulis separuh masa, sepenuh masa dan para akademik, guru-guru dan lain-lain, 2,600. Pada tahun 2008, 3,850 penulis. Dan tahun lalu, 5,150. Angka ini mungkin perlu kita saring lagi, menentukan sebenar berapa orang penulis kita yang boleh mampu hidup dengan penulisan. Soal ini sukar. Dato’ Ismail Noor fahamlah maksud saya itu. Jarang orang boleh hidup di negara ini hanya dengan menulis, kecuali beliau wartawan ataupun seorang editor yang digaji oleh syarikat. Kalau nak cari seperti William Forte yang sudah tidak ada, atau sebagai seorang penulis yang dulu di Rusia, Tolstoy, bolehlah dikatakan tidak ada. Tapi kalau kita nak mencari penulis seperti Kris Mas, Allahyarham, atau Mustafa Kamil Yassin, yang menulis buku Atap Genting Atap Rumbia yang telah disandiwarakan di pentas, mungkin ada. Jadi yang 5,150 ini kita harus pecahkan berapa orang yang boleh menulis dengan kehidupan menulis sahaja. Jika tidak ramai, tanggungjawab bagi GAPENA, tanggungjawab bagi PNM, kerajaan membantu supaya mereka boleh berada di tahap itu. Caranya kita harus beritahu kerajaan kita bahawa perpustakaan desa, perpustakaan di pekan-pekan membeli karya-karya yang ditentukan oleh panel agar buku mereka laku. Jadi buku Dato’ Ismail ini barangkali harus kita golongkan dalam golongan itu. Harus kita beli buku ini supaya dapat dibaca dan orang yang menulisnya, orang yang menerbitkannya berpeluang mendapat sagu hati kehidupan mereka.

Saudara saudari,

Jumlah syarikat penerbitan ada 6,861 tahun 2007, tahun 2008 7,517 dan tahun lalu 8,184, kenaikan sekitar 9% ke 10% setiap tahun. Jumlah buku-buku atau judul buku yang diterbitkan, ini penting. Tahun 2007, 11,000 lebih kurang, tahun 2008, 16,044, dan tahun lalu 16,767 judul. Kenaikan 4% ke 12% pada tiga tahun yang berkenaan. Nilai buku yang dijual peratusan berbanding tahun demi tahun, jumlah buku yang dijual di negara ini pada tahun 2007 nilainya RM1.3 bilion, tahun 2008 RM1.6 bilion dan tahun lalu RM2.1 bilion. Yang menjadi persoalan bagi saya ialah, berapakah bilangan buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu? Dalam bahasa kebangsaan kita. Ini pun harus kita cerakin kan. Walau bagaimana pun jelas bagi kita menyatakan bahawa nilai jualan buku di negara ini adalah satu nilai yang boleh menghidupkan satu industri. Tetapi kita hairan kenapa penulis tidak boleh hidup di Malaysia dalam jualan buku ini. Yang boleh hidup ialah syarikat-syarikat besar. Mereka yang mencetak tetapi penulis tidak boleh hidup. Persoalan ini bagi saya sangat mustahak untuk dijawab bagi setiap yang membaca, bagi setiap yang cintakan buku tadi. Mungkin debat ini tidak habis di sini, harus kita bawa ke perenggan yang lain. Tapi sekurang-kurangnya kita sudah mulalah mana yang lalu, melihat ke belakang, mengutip yang sudah berlalu dan juga menyahut setelah ia hilang.

Hadirin terhormat,

Oleh sebab buku ini akan didiskusikan oleh penulisnya, maka ungkapan tahniah yang harus saya sampaikan bagi pihak semua. Semoga buku ini dapat kita manfaatkan dari segi mengenal siapa pemimpin kita, pertama, tapi yang kedua untuk menjadikannya bahan bacaan untuk umum. Malangnya ia dalam Bahasa Inggeris, jadi Pakcik Seman di Kampung Gagu, di Jelebu tentulah tak faham. Oleh yang demikian, perlu barangkali satu terjemahan dibuat dan dikemukakan untuk edaran bagi rakyat kita.

Kepada semua yang hadir oleh kerana mengambil masa bagi kita sama-sama menghormati pelancaran buku ini, terima kasih. Dan tahniah sekali lagi kepada Thinker’s Library dan penulisnya Dato’ Ismail Noor dan di atas segala usaha menjadikan gagasan 1Malaysia itu tercapai.

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.

sumber :

http://www.kpkk.gov.my/